Wednesday 16 November 2011

Teknologi Memberi Peluang Pekerjaan Kepada Suri Rumah.


PEKERJAAN DARI RUMAH

WANITA SEBAGAI PEKERJA, ISTERI DAN IBU CEMERLANG

Di negara maju, bekerja dari rumah atau dikenali dengan konsep “Small Office Home Office” (SOHO) bukan perkara asing lagi. Ianya kini semakin diterima oleh masyarakat, lebih-lebih lagi dengan kemajuan dan kecekapan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Kajian dijalankan di Amerika Syarikat mendapati lebih 25 juta penduduknya menyertai program SOHO dalam pelbagai sektor. Begitu juga di Kanada (2.5 juta), United Kingdom (2.2 juta), Australia (778,000) dan New Zealand (200,000). Di Malaysia pula, konsep berkenaan masih dianggap baru. Namun, ia semakin mendapat perhatian. Kementerian Kerjaya umpamanya, menjadi perintis program bekerja dari rumah yang pada awalnya membabitkan kakitangan bertugas di cawangan Kejuruteraan Awam, Struktur dan Jambatan, Arkitek dan Ukur Bahan. Kemudian, Kementerian Sumber Manusia pula menyusul, menyediakan program sama berdasarkan Peraturan Kerja Separa Masa mengikut Akta Kerja 1955, bagi menggalakkan pekerja sektor awam dan swasta bekerja separuh masa atau bekerja dari rumah.

Apa yang penting, program seumpama itu memberi peluang kepada warga kerja khususnya wanita untuk menyertainya dan terus bekerja bagi menambahkan pendapatan berikutan waktu lebih anjal, kurang tekanan, bebas daripada kesesakan lalu lintas dan sebagainya. Bagi wanita yang bekerja dari rumah, banyak keuntungannya kerana mereka boleh merancang kerja secara fleksibel mengikut kesesuaian waktu, dapat membahagikan masa dengan lebih berkualiti untuk menguruskan rumah tangga, dan juga menumpukan perhatian lebih kepada kebajikan suami dan anak. Hak mereka sebagai sebahagian daripada sumber tenaga manusia negara juga tidak terjejas, selain dapat menikmati faedah seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), cuti umum, cuti sakit jika berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

Kecekapan dan kemudahan akses kepada dunia siber tanpa sempadan, iaitu e-mel, blog, telepersidangan serta jaringan sosial lain umpamanya Facebook dan Twitter membuka peluang lebih luas kepada warga kerja untuk melakukan sesuatu bidang tugas mereka secara lebih efektif, tanpa mengabaikan keluarga. Konsep bekerja dari rumah yang diwujudkan oleh Kementerian Sumber Manusia ini, antara lain bertujuan membantu Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan suri rumah serta mereka yang tidak mempunyai pekerjaan bagi melakukan kerja dalam bidang kraftangan atau berkaitan industri kecil sederhana (SMI). Sejak dilancarkan pada 7 Oktober 2008, program itu sudah memberi manfaat kepada 2,319 suri rumah dan 435 ibu tunggal. Dengan kejayaan itu, Kementerian Sumber Manusia juga bercadang memperluaskan program itu ke seluruh negara menerusi promosi dengan kerjasama majikan dan persatuan seperti Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Persatuan Perniagaan supaya lebih banyak majikan boleh menawarkan pekerjaan dari rumah.
Bagi Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, program bekerja dari rumah atau bekerja separuh masa memberi banyak keuntungan kepada wanita bagi mengelak tekanan antara tugas di pejabat dan mengurus rumah tangga. Bagi CUEPACS, program seumpama itu amat diterima baik dan ia diharap dapat menggalakkan wanita untuk melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang.
“Saya rasa wanita akan lebih tekun dan menjadi pekerja lebih bagus bagus kerana dapat memberi tumpuan kepada kerja dilakukan. Cuma, mereka yang terbabit dengan kerja dari rumah perlu melapor diri atau datang
ke pejabat dua hari seminggu untuk berjumpa majikan.
“Interaksi antara pekerja dan majikan perlu untuk melihat perkembangan kerja mereka berjalan lancar,” katanya.





Tiga Tokoh Wanita 2007 Manfaat Kemahiran Dimiliki Raih Pendapatan Cecah Empat Angka Sebulan


Bergelar suri rumah bukanlah penghalang untuk meraih pendapatan lumayan. Jika bijak menggunakan kemahiran khususnya menjahit, tidak mustahil golongan ini boleh menikmati pendapatan setaraf mereka yang bekerja sepenuh masa di pejabat.

Ibarat sambil menyelam minum air, kerja di rumah lebih menguntungkan kerana dapat menumpukan perhatian kepada keluarga disamping menambah pendapatan isi rumah. Hakikat ini terbukti apabila tiga wanita, Horiyatossaadiah Elias, 50, Rubiah Abd Rahman, 56, dan Ruzila Kasim, 32, dinobatkan sebagai Tokoh Wanita 2007, baru-baru ini oleh Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) dan Mostwell Sdn Bhd.
Anugerah disampaikan oleh Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

KEJAYAAN SEORANG SURI RUMAH
Bermula sebagai hobi semata-mata, Horiyatossaadiah tidak pernah terfikir kemahiran menjahit yang dimilikinya itu mampu mengubah kehidupannya. Ibu kepada dua anak itu yang pernah bekerja sebagai operator pengeluaran, kini meraih pendapatan RM3,000 sebulan hasil mengambil upah menjahit pakaian wanita dan lelaki serta barangan keperluan rumah seperti langsir dan cadar.
“Semasa bekerja di kilang dulu memang tidak pernah terfikir untuk ketengahkan bakat menjahit. Malah saya tidak pernah belajar menjahit secara rasmi dari mana-mana institusi. Minat memang ada tetapi hanya mula menjahit apabila berumah tangga kerana sedikit sebanyak terpaksa menjahit baju untuk suami dan anak-anak. Saya hanya mula mengambil upah menjahit sedikit demi sedikit daripada kawan-kawan mahupun jiran apabila berhenti kerja dan bergelar suri rumah sepenuh masa,” katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan itu.
Bermodalkan RM2,000, Horiyatossaadiah memulakan perniagaan menjahit di rumah dengan satu mesin menjahit yang dibelinya. Mesin menjahit manual itu digunakan sepenuhnya untuk menjahit pakaian terutama baju kurung dan baju Melayu yang ditempah pelanggan.
Sebagai ibu, Horiyatossaadiah memastikan segala urusan rumah tangga termasuk anak-anak diutamakan sebelum memulakan kerja menjahit.
“Biasanya saya bangun awal pagi untuk menyiapkan kerja rumah seperti memasak, membasuh pakaian dan mengemas rumah. Apabila segala-galanya diselesaikan, barulah saya mula menjahit. Hari biasa lazimnya tidak banyak tempahan tetapi saya masih mampu mendapat upah menjahit dengan pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan. Jumlah ini lebih tinggi pada Hari Raya yang biasanya membuatkan saya lebih sibuk daripada biasa,” katanya.


Meningkatkan kemahirannya, Horiyatossaadiah tidak jemu menimba ilmu bidang jahitan seperti teknik jahitan sulaman dan sulam tampal. Kaedah ini juga digunakan bagi menghasilkan barangan lain seperti langsir, cadar dan pelbagai keperluan rumah lain yang turut mendapat permintaan daripada pelanggannya.
“Hari ini terdapat pelbagai teknologi dalam mesin menjahit. Walaupun kemahiran menjahit bergantung sepenuhnya kepada individu tetapi kehadiran mesin menjahit yang canggih tidak dinafikan membantu memudahkan kerja menjahit. Misalnya mesin sulaman, ia mempercepatkan kerja menyulam dengan sistem pengkomputeran yang hebat. Justeru, amat penting bagi usahawan suri rumah meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mengendalikan mesin moden ini bagi menghasilkan jahitan lebih bermutu tinggi,” katanya.

Bergelar pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) dalam bidang jahitan, Rubiah tidak pernah terfikir mampu memiliki pendapatan lumayan mencecah empat angka seperti hari ini. Ibu kepada tiga anak yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini, mula bekerja dari rumah apabila terpaksa berhenti kerja dari kedai menjahit setelah mendirikan rumah tangga sejak dua dekad lalu. Selain menjahit baju untuk lelaki dan wanita, Rubiah turut mengembangkan kemahirannya dengan menjahit sulam tampal dan jahitan sulaman bersilang.
“Bekerja makan gaji memang tidak semewah bekerja sendiri. Saya tidak pernah terfikir kemahiran ini mampu memberikan pendapatan lumayan tetapi itulah hakikat yang saya alami hari ini. Saya mengambil upah menjahit di rumah selepas berhenti kerja kerana mengikut suami berpindah ke Pulau Pinang. Pada awalnya, pendapatan memang tidak tentu tetapi selepas dikenali pelanggan, saya mampu memperoleh RM 4,000 sebulan khususnya di hari perayaan seperti Hari Raya.
“Saya lebih senang bekerja di rumah sambil menjaga keperluan anak-anak dan suami. Lebih membakar semangat, suami turut memberikan sokongan dengan membantu menggosok kain sebelum dijahit. Sebagai tanda terima kasih, saya bagi upah 50 sen bagi setiap kain yang digosok kepadanya,” katanya.

Anugerah Tokoh Wanita 2007  ini adalah antara program PSJK dan Mostwell yang menganjurkan Program perniagaan Berasaskan Di Rumah (HBB) untuk menjana pendapatan suri rumah. Ia bermatlamat menjana pendapatan suri rumah di samping mengangkat martabat seni jahitan sebagai kemahiran penting di mata umum selain membantu ibu bapa menangani masalah berkaitan penjagaan anak di rumah.
Bagi mencapai matlamat itu, turut dilancarkan pada majlis berkenaan adalah MAP Fabric Art Gallery di Puchong yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan produk hasil jahitan peserta program berkenaan.
Pengarah Urusan Mostwell, Fully Chye Goet Lee pada majlis berkenaan, berkata bagi mencapai matlamat itu, MAP Fabric Art Gallery adalah satu platform kepada ahli HBB memasarkan produk mereka dengan lebih berkesan.
“MAP memberi peluang ahli HBB mempamerkan produk yang dihasilkan mereka dan mempromosikan hasil jahitan masing-masing. Penubuhan MAP dapat membantu masyarakat memahami apakah itu seni fabrik dan dapat melihat hasil yang mampu dibuat olehnya.

Di galeri ini, pengunjung dapat melihat dan membeli pelbagai barangan berasaskan seni jahitan seperti sulam tampal yang diadaptasikan dalam bentuk beg tangan, kasut, cadar, penghias dinding dan sebagainya. Bukan setakat itu saja, kaedah pemasaran juga diperluaskan melalui laman web iaitu www.patchesoflove.com,” katanya.



TIGA KAEDAH KERJA DARI RUMAH
1.      Kerja Secara Individu

Kerja yang dijalankan di rumah peserta, yang mana peserta itu sendiri mengambil bahan dan peralatan daripada syarikat serta berurusan terus dengan pihak syarikat bagi segala urusan, termasuk pembayaran upah.

2.      Kerja Secara Berkumpulan

Kerja yang dijalankan di premis tertentu secara berkumpulan dan diselia ketua yang dilantik untuk mengurus, menyelia dan seterusnya berurusan dengan syarikat berkaitan dengan pekerjaan mereka, termasuk urusan pembayaran upah.

3.      Kerja Secara Individu Atau Kumpulan Melalui Pihak Ketiga

Kerja dijalankan di premis tertentu, sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pihak ketiga, yang menjadi orang tengah kepada syarikat. Segala urusan berkaitan dengan pekerjaan mereka, termasuk pembayaran upah adalah di bawah tanggungjawab pihak ketiga.


KELUARGA DULU, KERJAYA NOMBOR DUA
 (KAJIAN LEPAS)
Ramai wanita hari ini lebih mementingkan keluarga selepas mempunyai anak. Tinjauan syarikat laman pekerjaan dalam talian, JobStreet.com menunjukkan hampir (64%) wanita berkata, kepentingan kerjaya dalam hidup berubah apabila mereka mempunyai cahaya mata. Kajian yang dijalankan  membabitkan 550 pekerja wanita, berusia antara 18 tahun dan 35 tahun dengan (42%)belum berkahwin dan (41%) sudah berkahwin serta mempunyai anak. Ia bertujuan mendapatkan pandangan wanita mengenai kerjaya mereka dan ciri pekerjaan yang diingini selepas bergelar ibu. Ditanya mengenai keutamaan dalam kerja, lebih daripada (61%) responden mengatakan waktu kerja yang lebih fleksibel akan menjadi keutamaan, (16%) mahukan waktu kerja yang lebih pendek dan konsisten sementara tujuh peratus wanita mahu mengurangkan waktu perjalanan ke tempat kerja dan untuk pulang ke rumah manakala (15%) wanita mengutamakan gaji yang lebih tinggi.
Tinjauan yang sama juga mendapati, wanita di negara ini kembali kepada adat tradisional peranan wanita di rumah. Lebih kurang (44%) wanita merancang untuk berhenti kerja selepas mempunyai anak. Pilihan yang paling popular adalah untuk bekerja separuh masa, secara sambilan atau pekerjaan yang tidak terikat dengan masa atau berhenti kerja sementara waktu sebelum menyambung kerjaya semula. (38%) wanita berpendapat meninggalkan kerja selama setahun selepas melahirkan anak adalah sesuai.
Berdasarkan maklumat ini, aliran pekerjaan ibu di Malaysia dijangka berubah di masa depan kepada pekerjaan yang lebih fleksibel. Bagaimanapun, hakikatnya, lebih daripada (80%) ibu yang menyertai kajian ini tidak berhenti kerja selepas mendapat anak. Lebih daripada separuh menyatakan isu kewangan sebagai sebab tidak dapat berhenti kerja. Hanya (20%) wanita tidak berhenti kerja demi meneruskan perkembangan kerjaya. Ini menunjukkan berlaku konflik antara apa yang dikehendaki mereka dan apa yang boleh dikecapi.Apabila disoal mengenai majikan pula, tinjauan menunjukkan ada jurang antara apa yang diberi majikan dan apa yang dikehendaki pekerja wanita. Lima puluh satu peratus wanita berasakan majikan tidak peka kepada keperluan ibu yang bekerja, majikan tidak memberi pilihan kerja separuh masa atau waktu kerja yang fleksibel (74 %) dan (66 %) berpendapat majikan harus menyediakan kemudahan tempat penjagaan anak.

1 comment:

  1. admin tak pernah cuba kerja freelance?. saya dah 10 tahun kerja. ada menulis sikit pasal kerja freelance online. jemput ke blog saya utk idea admin

    [Jemput ke blog saya untuk tips Kerja Part Time Online]

    ReplyDelete