Thursday, 1 December 2011

SePintas Lalu....

Perkembangan teknologi komunikasi
Sebagai pelajar, apatah lagi berada di negara orang, sudah tentu banyak perkara baru yang ditemui dan ingin dikongsikan dengan kawan-kawan yang lain. Teknologi sekarang banyak membantu kita untuk berkomunikasi dengan orang lain dengan pantas dan murah. Semakin hari semakin banyak cara untuk berhubung.


Sebagai contoh, pada zaman 60-an dan 70-an dahulu, ayah-ayah dan ibu-ibu kita dahulu hanya berhubung melalui surat yang dipos. Entah pada masa itu sudah ada pos udara atau belum. Sekiranya belum, sudah tentu surat dari Mesir akan memakan masa berbulan-bulan untuk sampai ke Malaysia!


Kemudian, muncul pula apa yang disebut call cabin. Atau lebih dikenali sebagai central di sini. Ia adalah sebuah kedai yang dilengkapi dengan bilik-bilik yang setiap satunya disediakan telefon. Setiap panggilan akan dicaj mengikut tempoh dan jarak panggilan yang dibuat. Pernah seorang senior bercerita, pada malam hari raya, berpusu-pusu orang mengunjungi tempat ini untuk berhubung dengan keluarga yang tersayang di tanah air. Tapi, pada malam itu sahajalah, kerana kosnya terlalu tinggi.


Sekarang, dengan kemudahan Internet, bercambahlah kaedah-kaedah baru untuk berkomunikasi. Yang paling menjadi pilihan pelajar sekarang ialah melalui VoIP (Voice over Internet Protocol) iaitu satu aplikasi yang menggunakan apa yang dipanggil sebagai telephone box yang disambungkan dengan talian Internet untuk menelefon rumah atau telefon bimbit di mana sahaja di seluruh dunia. Dengan hanya LE20, anda boleh berbual selama dua jam untuk telefon rumah atau sejam untuk telefon bimbit! Atas sebab inilah saya mampu mengekalkan rutin menelefon Malaysia seminggu sekali.


Bagi yang lahir dalam keluarga yang celik IT, pilihan yang lebih tepat tentunya penggunaan Yahoo Messenger. Ini kerana, selain boleh berbual (baca: chat) dengan perantaraan huruf-huruf, anda juga boleh menggunakan Voice Call untuk berhubung dengan orang lain dari PC ke PC secara percuma. Malah, jika keduanya memiliki kamera web (baca: webcam), kalian boleh saling melihat antara satu sama lain. Dan ini juga percuma!


Dengan tambahan bayaran, anda juga boleh menggunakan Yahoo Messenger untuk menelefon rumah atau telefon bimbit. Rata-rata rumah negeri di sini ada menjual apa yang dipanggil sebagai kad Yahoo Voice.

Bagi mereka-mereka yang mengikuti perkembangan teknologi telefon bimbit, tentunya mereka senang dengan khidmat pesanan ringkas (SMS), khidmat pesanan multimedia (MMS) dan 3G. Bahkan, dengan mengaktifkan GPRS, anda boleh menikmati kemudahan Internet menerusi telefon bimbit! Apatah lagi telefon bimbit yang tersedia di dalamnya wireless modem. Sudah tentu ia berupaya untuk mengakses Internet pada kelajuan yang lebih tinggi.


Ada juga yang suka berkongsi dengan semua orang; dikenali atau tidak dikenali. Sistem blog sesuai untuk kategori ini. Dengan blog, anda boleh berkongsi cerita dengan semua orang dengan hanya memberitahu alamat blog anda. Mutakhir ini, ada satu lagi sistem yang mula mengejutkan ramai pengguna aktif Internet. Twitter.

No comments:

Post a Comment